Rayyan Izdihar. Benar kata Mama. Lelaki itu juga menjadi salah satu sebab yang mendorongku untuk berubah. Namun aku bukan berubah kerana dia! Izdihar hanya pemangkinnya sahaja, lewat peringatan serta tazkirah yang diberikannya tanpa henti-henti terhadapku.
Namun antara aku dan Izdihar juga ada yang menghijabkan kami, tidak kira bagaimana sekalipun sokongan dan dorongannya terhadapku, aku tidak lagi boleh membiarkan keadaan itu terus terjadi. Dia bukan muhrimku dan apabila perasaan yang aneh mula menjalar dalam diriku terhadapnya, aku cepat-cepat beristighfar dan berpatah balik ke jalan yang sepatutnya. Aku sedar yang aku mulai menaruh perasaan terhadapnya, dan begitu juga dia. Namun cinta dunia yang sungguh indah itu merupakan suatu bentuk ujian juga buatku dan darinya. Melawan perasaan dan menghindari hubungan yang haram disisi Yang Maha Pemberi Cinta… Mujahadah yang bukannya senang untuk kulalui, sementelah pula mujahadahku untuk mentarbiahkan Mama masih lagi memerlukan kekuatan yang jitu .
Malam itu, ketika segala-galanya terbongkar dan diketahui Mama…itu merupakan malam terakhir aku berhubungan dengan Rayyan Izdihar. Akibat terlalu letih ,aku tertidur didepan skrin computer dan segala kebenaran telah terhampar dihadapan Mama. Aku tidak pasti sama ada aku harus memberitahu Izdihar tentang perkara itu atau tidak. Setelah mendapat nasihat dari Najihah, aku cuba menghubungi Izdihar untuk mencari jalan penyelesaiannya.
XXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXX
“Halily, izinkan saya untuk bertemu kedua-dua ibu bapa awak. Kalau awak tidak keberatan. Sebab saya rasa masalah ini ada kaitannya dengan saya, biarlah saya yang bertanggungjawab juga. Saya akan cuba untuk menerangkan kedudukan yang sebenarnya pada Mama awak. Mungkin saya boleh ambil pendekatan ini untuk memperbetulkan fahaman dia yang selama ini dianggapnya salah…” Rayyan Izdihar bersuara.
Aku jadi gugup. Namun aku memberanikan diri untuk mencuba nasib. Beberapa hari selepas itu, aku memberitahu Mama bahawa aku ingin menemukan Mama serta Papa dengan Rayyan Izdihar. Mama pada mulanya berkeras namun setelah dipujuk Papa, Mama mengalah. Aku bagaimanapun masih belum mampu untuk tersenyum . Hatiku masih belum lega kerana aku benar-benar khuatir akan penerimaan Mama dan Papa terhadap Izdihar.
Akhirnya hari yang dijanjikan itu tiba. Rayyan Izdihar datang ke rumahku. Sewaktu kedatangannya, aku menjadi tidak tentu arah. Aku tidak tahu sama ada patut atau tidak aku menunjukkan muka dihadapan Izdihar ataupun tidak. Aku jadi malu. Meski dia rakan sekolejku, namun antara aku dan dia tidak pernah bertentang mata, ataupun bercakap secara langsung dengannya. Medium penghubung antara aku dan dia cumalah melalui alam maya semata-mata.
“ Assalamualaikum Pakcik, Makcik…” Izdihar melangkah masuk ke dalam rumah lalu menghulurkan tangan kanannya kepada Papa. Mereka bersalaman. Papa hanya tersenyum. Dapat ku lihat riak wajah Mama yang sangat dingin. Papa mempersilakan Izdihar duduk. Papa duduk bersebelahan dengan Mama, dan Izdihar betul-betul duduk bertentangan dengan Mama.
“ Izdihar, makcik nak tanya elok-elok dengan kamu ni… apa yang kamu dah buat dengan Halily? Apa yang kamu dah rasuk pemikiran dia?” aku tidak sangka Mama begitu berterus-terang tanpa berbasa-basi.
“ Aisyah, kita ni nak berbincang elok-elok. Lagipun Izdihar tu tetamu kita. Sabar…” Papa memegang tangan Mama.
“ Baiklah, saya cuba taknak mengeruhkan keadaan lagi. Sebenarnya begini, saya cuma mengingatkan dia tentang kewajipan dia sebagai seorang muslimah. Main thing yang selalu saya katakan padanya, jangan berasa selesa dengan Islam yang sedang dia amalkan selama hari ini, kerana tidak semuanya betul. Saya ambil pendekatan menegur Halily dari segi rasional dan logik, supaya Halily boleh berfikir dengan sendirinya. Kesedaran dan tindakan Halily, itu bergantung kepada pemahaman dan kekuatan dirinya untuk berubah. Saya faham bagaimana situasi keluarganya, jadi saya cuma memberi panduan kepada Halily untuk dia mengatasi masalah yang sedang dia hadapi,” petah benar Izdihar berhujah. Aku yang sedari tadi mengintai dari celahan daun pintu kamarku, berasa benar-benar kagum mendengarnya!
“ Kenapa Halily yang kamu jadikan sasaran nak berdakwah? Sedangkan ramai lagi student lain yang serupa. Kenapa kamu tak approach sahaja mereka yang lain?” duga Mama.
“ Pakcik dan Makcik seharusnya berasa bersyukur, kerana mempunyai anak seperti Halily. Dia seorang gadis yang tidak mudah berpuas hati dengan apa yang dia ada sekarang, malah berusaha untuk memperbaiki dan memperbetulkan dirinya. Sebagai ibu bapa Halily, memang Pakcik dan Makcik dah berjaya mendidik Halily. Namun janganlah disebabkan sedikit perubahan itu, Pakcik dan Makcik mempersoalkan tindakannya. Halily pun sudah matang, dia bijak membezakan antara perkara yang sepatutnya dia lakukan ataupun tidak. Nabi sendiri pernah berpesan, seorang Muslim itu haruslah menjadi seorang yang lebih baik dari dirinya yang sebelumnya.
Mengenai approach saya pada student yang lain, saya sebenarnya secara umum sering berdiskusi tentang pelbagai perkara yang berkaitan dengan dakwah, mostly dengan student di kolej saya dan Halily juga salah seorang daripadanya. Jadi soal approach atau tidak dengan student lain itu bukan isunya, kerana saya bukan Halily seorang sahaja yang menjadi mad’u saya. Lagipun saya percaya kepada niat saya untuk berkongsi ilmu dan selagi saya yakin apa yang saya buat tu tidak salah, insyaAllah segalanya tidak menjadi masalah” lontaran kata-kata Izdihar begitu baik sekali.
“ Tapi apa yang Pakcik tahu dari Makcik, kamu ada menyimpan perasaan pada Halily?’ tanya Papa pula. Aku yang mendengar hanya mampu menepuk dahi. Alamak… kenapalah Papa dan Mama ni direct sangat?
“ Yang sebenarnya, jujur saya katakan bahawa saya memang tertarik padanya. Namun itu fitrah manusia. Meskipun begitu, saya sendiri faham dan tahu antara saya dan Halily ada hijabnya. Jadi, saya sebelum ini memang dah berniat untuk menjauhkan diri saya daripada Halily. Malah saya sedang usahakannya sekarang. Saya tak mahu dianggap cuba mengambil kesempatan sebelum sampai pada masanya. Niat saya datang ke rumah Pakcik hari ni pun, untuk memperjelas kedudukan yang sebenarnya. Bukan semata-mata kerana Halily. Saya harap jelas segala penjelasan yang saya berikan pada Pakcik dan Makcik. Maaf seandainya ada kata-kata saya yang menyinggung perasaan Pakcik dan Makcik. Sesungguhnya saya cuba sedaya upaya saya untuk menjelaskan agar Pakcik dan Makcik berpuas hati…” jawab Izdihar dengan sopan. Aduh, tertib sekali cara Rayyan Izdihar. Tidak mustahil satu hari nanti dia mampu memenangi hati mad’unya dengan nasihat dan tutur katanya yang penuh hikmah.
“ Izdihar, maafkan Makcik. Sebelum ini memang Makcik ada tanggapan buruk pada kamu. Dari cara Makcik tengok kamu, Makcik percaya kamu orang yang baik. Teruskanlah berkawan dengan Halily. Makcik tak larang. Bimbinglah Halily. Asalkan masing-masing tahu dan pandai menjaga diri…” Mama tiba-tiba bersuara. Aku tersentak. Seolah-olah terasa seperti dipanah petir! Mamakah yang berkata sedemikian? Kutoleh ke arah wajah Papa. Tidak ada riak-riak membangkang dari air muka yang dipamerkannya.
“ Terima kasih atas kepercayaan itu Makcik,Pakcik. Tapi saya rasa Halily dah cukup kuat untuk membawa tarbiyah dalam dirinya. Saya akan serahkan segalanya pada dia secara total untuk membina jalan dakwahnya. Sekadar menyokong, saya doakan sajalah yang terbaik untuknya. Lagipun, saya dah cakap tadi. Saya takut timbul perasaan yang tak sepatutnya bukan kena pada tempat dan masanya. Sampai pada masa yang sesuai, insya Allah saya akan datang ke sini kembali bersama dengan orang tua saya. Tapi buat masa ini, biarlah keadaan macam ni dulu. Bukannya apa, saya takut disebabkan itu, terhalang jalan dakwah saya. Hati ni perlu dijaga Makcik…” Izdihar memegang dadanya dan tersenyum ke arah Mama.
Selepas itu kulihat mereka berbual dengan begitu rancak sekali. Izdihar bijak menarik dan menjentik titik keserasian dalam hati Mama dan Papa. Aku bersyukur. Sangkaanku pada mulanya ternyata meleset. Malah, ia terjadi luar jangkaan ku, malah lebih baik dari apa yang aku jangkakan. Aku keluar menghidangkan minuman kepada mereka. Seboleh-bolehnya aku cuba untuk menundukkan pandanganku terhadap Izdihar. Segan pula rasanya. Tidak lama selepas itu, azan Isyak berkumandang. Rayyan Izdihar meminta izin untuk solat dirumah itu lalu dia bangun dan menuju ke arah bilik air untuk berwudhuk.
Malam itu, setelah sekian lama rumah itu tidak berseri dengan solat jemaah, solat kami sekeluarga pada malam itu diimamkan oleh Rayyan Izdihar. Terasa syahdu sekali alunan suaranya mengalunkan tarannum. Aku hampir tidak khusyuk dibuatnya. Perasaan yang sama melewati hatiku setiap kali dia menjadi imam mengetui solat di kolej. Bacaan doanya juga begitu mengasyikkan aku. Namun aku tidak terlepas berdoa untuk mendoakan, supaya Allah membuka pintu hati Mama dan sekaligus menentukan jalan yang terbaik buat aku dan Izdihar. Setelah selesai solat Isyak, kami menikmati makan malam bersama dan selepas itu, Rayyan Izdihar meminta diri untuk pulang.
XXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXX
Pagi itu aku agak tergesa-gesa berkemas. Aku mahu pulang awal ke kolej, apabila memikirkan ada tugasan yang perlu segera kusiapkan. Setelah siap berkemas, kakiku menari-nari turun memijak anak tangga dan menghampiri dapur, hajatku mahu menolong Mama menyiapkan sarapan.
“Lily, tolong Mama hidangkan sarapan ni kejap. Mama nak naik atas bersiap. Lepas sarapan, Mama dengan Papa akan hantar Lily terus pulang ke kolej…” arah Mama. Aku menuruti perintahnya.
Aku mencedok bihun goreng ke dalam mangkuk besar dan meletakkanya di atas meja makan. Ku terlihat kelibat Papa yang sudah sedia menunggu di hadapan meja, menantikan sajian sarapan. Aku bergegas semula ke dapur untuk mrmbancuh kopi dan mengambil pinggan untuk dibawa ke meja makan. Namun kali kedua aku menghampiri meja makan, Mama sudah sedia duduk disebelah Papa. Seolah-olah hampir terlepas dulang yang berisi pinggan dan teko kopi yang kutatang, apabila terlihatkan Mama. Perlahan aku menghampiri meja makan tersebut, meletakkan dulang tanpa sedikitpun mataku berkelip memandang ke arah wajah Mama…
“Alhamdulillah Mama…” aku mengalirkan air mata kegembiraan lantas memeluk Mama. Mama membalas pelukanku. Terima kasih Ya Allah! Kau mendengarkan permintaanku! Mama telah bertudung labuh kini Ya Allah… hidayah Allah telah sampai kepada Mama. Allah sudah mencampakkan perasaan keinginan dan pemahaman itu kedalam hati Mama.
“ Lily… Mama mungkin tak sempurna lagi menutup aurat. Kalau ada apa-apa yang perlu nak tegur Mama, nanti beritahu Mama ya?” Mama mengesat air matanya. Aku manggangguk laju. Aku benar-benar gembira!
“ Anak beranak ni buat drama lah pulak depan meja makan ni… sudah-sudah, kejap lagi sebelum Papa hantar Lily balik kolej, kita singgah mana-mana butik yang jual tudung dan busana muslimah. MY treat today…okay? “ seloroh Papa. Berderai ketawaku dan Mama.
Terima kasih Ya Allah. Terima kasih juga buat Rayyan Izdihar. Tidak sabar rasanya aku mahu mengkhabarkan berita ini kepadanya. Sesungguhnya benar kata awak pada saya, Izdihar… permulaan cabaran memang susah dan tidak kiralah apa pun caranya…pengakhiran itulah yang lebih bermakna. Mujahadahku untuk mentarbiyahkan Mama ternyata tidak sia-sia. Meskipun aku faham bahawa Mama masih perlu masa untuk berubah, namun sekurang-kurangnya kesedarannya ke arah itu sudah ada. Azamku, aku mahu terus mentarbiyahkan lebih ramai orang yang kusayangi selepas ini, setelah ku merasai sendiri nikmat kemanisan yang Dia berikan apabila mampu tersenyum puas melihatkan perubahan dari tarbiyah yang telah diusahakan dengan penuh sukar…. Buat Rayyan Izdihar pula, biarlah Allah sahaja yang menentukan. Yang ku pasti kini, hatiku sedang tersenyum girang.
No comments:
Post a Comment