Pages

Monday, January 3, 2011

secawan minuman coklat.

Minuman coklat itu mengusir dahaganya. Menghilangkan kantuknya yang baru sahaja bermula menyapa matanya. Perlahan diteguk. Menikmati setiap saat cecair panas berperisa itu serasi  disegenap ruang mulutnya sebelum turun ke tekak yang menanti.  Aroma coklat pekat itu menusuk deria hidunya. Kurang gula, kurang susu, membuat pahit coklat itu kekal terasa. Dia gemarkan bancuhan sebegitu. Lazat.

                Matanya kembali teralih ke arah skrin komputer riba yang sedikit berhabuk itu. Cawan putih tanpa cela itu diletakkan disisi meja yang suram. Jemarinya bergerak menguis habuk yang menempel di skrin itu. Sebentar kemudian, jemari itu kembali meliar diatas papan kekunci.  Jemari yang meliuk lentok, pantas menekan papan kekunci menerbitkan aksara-aksara yang terpapar di skrin. Pergerakan jemari terhenti sebentar. Matanya berputar, lantas jemari bergerak menuju ke dahinya yang mempamerkan kerutan jelas. Ilham yang sebentar tadi menunjal mindanya, terlupus semula.  Dijeling semula cawan putih berisi minuman coklat itu. Aroma yang terbit dari asap yang berkepul-kepul dari bibir cawan itu kembali menggodanya. Leretan senyuman automatik terjelma. Lantas digapai kembali tangkai cawan putih itu. Segera dihirup. Menyegarkan. Bagai terjalin semula segala neuron yang menghubungkan idea yang ingin terluah, segera dimuntahkan melalui jemari yang ligat apabila menyentuh papan kekunci yang penuh dengan pelbagai rupa huruf roman itu. Melegakan sekali lagi. Minuman coklat itu mampu mengusaikannya.

                Mengapa coklat? Bukan kopi? Apalagi teh berkrimer.  Minuman berkaffein itu gagal menambat hatinya. Begitu juga minuman teh berkrimer, enggan diterima oleh tekaknya yang satu itu. Pahit coklat itulah yang menjadi ketagihannya. Tidak tentu arah hidupnya andai minuman bercoklat itu tidak menjadi peneman dikala dia lagi berkarya. Teman sewaktu menghabiskan kerja ketika dinihari mula menerpa. Bukan kerana dia benci pada kaffein. Bukan kerana dia benci pada the berkrimer. Namun, ada sesuatu yang menarik minatnya terhadap coklat. Lagi pula pada coklat gelap. Coklat hitam dikatakan mempunyai empat kali kadar ‘catechins’ dan ‘phenols’ daripada teh. Sudah pasti khasiat antioksidan itu mampu membuatkan si penggemar coklat sepertinya tersenyum lebar dan puas.   

                Suatu ketika, sewaktu mindanya dihimpit tekanan yang melampau… dibancuhnya minuman bercoklat itu. Sama sahaja sukatannya…  dua sudu serbuk coklat dari paket berwarna ungu itu, setengah sudu gula, susunya pun satu sudu sahaja. Diadun kesemuanya berserta air panas yang sedia terdidih di atas dapur, dituang masuk ke dalam cawan putih. Siap dikacau… sekali nafas dia menikmati aroma coklat itu sejurus bibirnya dan bibir cawan itu segera bersatu.  Jiwa yang terpempan, ibarat luput seketika tatkala minuman coklat itu dinikmati dan menerjah membasahi tekaknya yang kering. Apa ajaibnya minuman coklat ini? Mungkinkah kandungan ‘phenylethylamine’ dan ‘tyramine’ di dalamnya mampu membuatkan otaknya merembeskan ‘endorphins’, lalu membuat jiwa dan mindanya kurang berkecamuk?

                Saat didatangi sahabat karib yang membuat emosi berada pada fasa kritikal, menghirup minuman coklat membuatkan dia berasa sungguh tenang. Apabila ada minuman coklat disisi, kehadiran sang sahabat ibarat tempias angin lalu yang bersahaja menampar, tidak langsung mengugat  kitaran yang kadangkala mengundang gundah-gulana dihati. Pembekalan semula elemen magnesium ke dalam tubuh oleh coklat, mampu menyeimbangkan sekaligus mengurangkan ketegangan dan kegusaran sindromnya dalam menanti sahabat karib itu berlalu pergi. Ternyata kehebatan minuman coklat ini benar-benar mengujakannya.

                Jauh menerewang. Melangkau sempadan separa sedarnya. Lantas dia menggeleng-geleng perlahan sambil tergelak kecil.  Melayani hatinya yang sedang kehujanan dan minuman bercoklat itu kekal disampingnya. Kerlingannya ke arah minuman bercoklat itu, membuatkan keinginannya untuk berkarya membuak-buak sebentar. Terima kasih wahai minuman bercoklat. Kau takkan ada galang gantinya. Kau tetap bermakna, dan akan kekal disisiku buat selama-lamanya menjadi inspirasi mayaku.


bicara kalam,
Nurlisa Afifah. 
Kolej Mara Seremban
31 Disember 2010

No comments:

Post a Comment

 
Images by Freepik