Pages

Saturday, December 18, 2010

aku anak watan!

Terkadang sukar menafsir. Manusia gemar berbalah untuk perkara yang meragukan. Yang nyata diusir ke tepi, yang batil diagung-agungkan. Atas paksi apakah manusia ini tegak berdiri lalu mencipta perseteruan? Aku kurang mengerti akan modus operandinya. Pemikiran manusia kadangkala dangkal, namun mereka kerap menyangkal. Harta dan kedudukan, apakah itu galang gantinya untuk meraih sebutir kejujuran? Apabila kuasa dan pangkat itu menjadi kegilaan, maka keadilan dan kebenaran itu harus dihapuskan?

Memalsukan pemikiran. Membutakan fakta. Menerobos fakulti minda dengan propaganda yang keterlaluan. Isu menjatuhkan kau dan aku berlegar di serata penjuru. Itu yang sedang berlaku. Aku letih dan bosan mendengarkannya. Hinggakan muak mahu menyumbang saran memperbaik keadaan yang berleluasa. Segalanya kusut berpintal-pintal. Sebagai anak muda yang baru menerjah ke kancah kehidupan, bagaimana harus kuatur langkah, andai hala tujunya masih tidak ketahuan? Bagaimana kewarasanku harus menimbang tara, andai tiada panduan yang benar-benar ampuh yang dapat ku jadikan sandaran? Aku enggan digelar anak watan yang hanya menurut membuta tuli, tanpa menggunakan pancaindera yang diperoleh sejak azali. Tidak ada jurang pemisah untuk mengenal sempadan yang hakiki dan sebaliknya?

Mereka kekal bertelagah, laksana menegakkan benang yang basah. Aku bosan. Masing-masing punya agenda dan konspirasi yang kabur. Aku dan anak-anak watan seangkatan denganku ibarat tenggelam punca. Siapa benar? Siapa salah? Mereka semua ibarat anak kecil yang saling menghentam apabila rasionaliti mereka tidak terjangkau mentaliti yang mereka katakan datang dari minda kelas pertama. Tanpa dakwa-dakwi. Sedarlah. Tidak malukah kalian kepada ribuan mata kami yang memandang?

Sebahagian dari golongan anak watan yang seangkatan denganku, enggan ambil peduli lagi. Barangkali sebahagian dari kami terlalu penat untuk mengendahkan segala yang terjadi, ibarat bermain wayang di pentas yang mereka katakan tampuk pemerintahan negara yang unggul.

Apa nak jadi? Mereka terus-terusan berhentam lagi. Entah bila mahu berakhir. Dan selama itulah ,minda anak muda yang telah tuli itu akan disogokkan dengan khabar dan fakta yang sudah ditapis segala rasa kelatnya, meskipun yang kelat itulah yang membuat rasanya serasi..hanya tinggal serpihan rasa yang manis, menggula dalam pemikiran anak-anak ini… dan selama itu jugalah, pemikiran anak-anak ini akan terus digula-gulakan!

No comments:

Post a Comment

 
Images by Freepik