Pages

Saturday, September 25, 2010

WALAU BUKAN YANG PERTAMA...PART 2

“ Aku terima nikahnya Durrah Irdina binti Ahmad Firdaus dengan mas kahwinnya RM 101 tunai…” lancar sahaja mulut Khalil Khusyairi melafazkan akad yang bakal memecahkan tembok pemisah antara aku dan dia selama ini. Seusai para saksi mengangguk tanda mengesahkan lafaz tersebut, dia meraih tangan Ayah lantas dikucup dengan penuh syukur. Dengan sekali lafaz, aku telah sah bergelar isteri kepada Khalil Khusyairi bin Khairuddin.

Terasa berdebar pula hatiku. Inilah kali pertama aku akan bersua muka dengannya kembali. Setelah 4 tahun. Ya, 4 tahun. Malam sebelum bernikah, Ibu mengusikku dan berkata bahawa gambar terbaru Khalil ada diletakkan didalam laci meja solekku. Namun, jangankan berani melihatnya, menyentuh gambarnya dari laci itu pun aku tidak sanggup. Entah mengapa. Bagiku, aku menyerahkan segal-galanya buat Allah. Walau apapun rupanya, walau bagaimana sekalipun dia.. ketika itu aku berkira-kira dia bakal menjadi suamiku tidak sampai 24 jam sahaja lagi. Berdetak hatiku tatkala langkahnya semakin menghampiriku, untuk menyarungkan cincin perkahwinan kami ke jari manisku.

Jemariku diraih, lantas disarungkan cincin bertatah permata itu ke jari manis kananku. Aku mengucup lembut dengan penuh kasih sayang tangan lelaki itu. Lelaki yang telah sah dan halal buatku. Bagaikan tidak percaya aku telah menjadi miliknya kini. Dahiku dicium, buat pertama kalinya oleh Khalil Khusyairi. Itulah sentuhan yang pertama darinya buatku. Tanpa tertahan-tahan, empangan air mataku pecah sekali lagi. Sebak dan terharu, menjadi isteri kepada Khalil Khusyairi bin Khairuddin, lelaki yang selama ini bagaikan mimpi sukar digapai, telah kumiliki kini. Ya Allah, aku mencintainya kerana-Mu, suburkanlah dan bantulah aku menjadi isteri yang solehah buatnya.

“ Durrah, sudah-sudahlah tu menangis. Takkan abang nak pakai tangan buangkan hingus Durrah tu…” tutur Khalil. Ternyata dia lelaki yang gemar bercanda. Kata-kata Khalil Khusyairi itu disambut dengan deraian gelak tawa dari saudara-saudaraku yang turut sama menghadiri majlis akad nikah kami pada petang itu. Aku mendongak dan melihat wajahnya yang sedang bersimpuh memandangku. Aku sekadar melemparkan sekilas senyuman. Mukaku mula merona merah. Malu diusik sedemikian. Jutaan ucapan tahniah menghujaniku dari sahabat handai dan kaum keluarga yang selama ini berdiri teguh dibelakangku. Aku bersyukur, kesabaranku selama ini akhirnya berbaloi jua. Apabila mendapat suami seperti Khalil Khusyairi, kurasakan tidak ada apa lagi yang kuharapkan, selain agar aku dapat berbahagia dengannya selalu.

XXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXX

Malam itu, ada sedikit kenduri dibuat dirumahku. Meraikan menantu sulung Ayah dan Mak. Sekadar kenduri kecil-kecilan sahaja, kerana walimah yang sebenarnya perlu ditetapkan tarikhnya pada masa yang lebih sesuai, kerana aku harus kembali ke ibu kota secepat mungkin untuk menyambung semula praktikalku, malah suamiku pula harus kembali ke kampusnya bagi menghabiskan tugasan kuliahnya. Aku tergelak kecil, apabila teringat kata-katanya padaku 4 tahun yang lalu, bahawa dia ingin menyambung pengajiannya sehingga ke peringkat Sarjana, dan kini…segalanya telah menjadi realiti. Aku bersyukur kerana selama ini apa yang ku rencana diperkenankan dan dipermudahkan oleh Allah SWT.

Aku didapur menolong Mak. Meskipun inai masih merah dijariku, namun aku tidak tega melihat Mak bertungkus-lumus mengerjakan segala-galanya tanpa bantuan dariku. Aku tidak kekok menolongnya didapur, kerana sudah menjadi kebiasaanku menolong Mak sebelum ini.

“ Mak… isteri pertama Abang Khalil tu yang mana satu ye Mak? Mesti dia ada datang jugak kan? Mesti Abang Khalil bawak dia datang sini jugak… kan?” aku bertanya kepada Mak ketika sedang menggosok periuk dibelakang rumah. Mak yang sedang membasuh cawan dan pinggan mangkuk ketika itu terhenti mendengarkan pertanyaanku.

“ Isteri pertama? Apa yang Durrah merepek ni?Durrah lah isteri dia…Kenapa tanya macam tu? ” Mak menjawab dengan mempamerkan mimik muka yang pelik mendengarkan soalanku tadi.

“ Memanglah Durrah isteri dia jugak. Tapi …erm, tak apalah nanti Durrah tanya sendiri kat Abang Khalil…” aku tidak jadi menghabiskan penjelasanku. Aku tersenyum tawar dan nadaku membalas ternyata sedikit kecewa. Hatiku masih tidak tenang memikirkan perkara itu.

Selesai majlis,aku naik ke balkoni kamar perkahwinanku. Angin menderu menampar tubuhku dengan kesejukan malam itu. Jam menunjukkan hampir 1230 tengah malam. Tiba-tiba pinggangku dirangkul manja dari belakang. Terasa hembusan nafas suamiku itu ditepi telingaku. Hangat. Pelukan yang mendamaikan keresahan jiwa, keletihan yang mula menapak dalam diri ternyata hilang begitu sahaja. Mungkin inilah yang dikatakan kemanisan dalam berumah tangga, apabila segala sentuhan itu telah halal buatku dan menjadikan segala-galanya begitu indah. Namun hanya satu persoalan yang masih bermain-main dibenakku…dimana isteri pertama Khalil Khusyairi? Aku mahu menuntut janji yang telah dikatakannya itu.

“ Abang…”

“ Ya sayang…”

“ Erm… Abang redha tak Durrah dah jadi isteri abang sekarang ni? “tanyaku.

“ Kenapa tanya macam tu? Sedangkan Durrah dah tahu apa jawapan abang kan? Abang bersyukur dapat isteri yang comel, baik, pandai jaga diri macam sayang ni…” kata Khalil Khusyairi seraya mencuit hidungku. Manja. Aku menyandarkan kepalaku ke dadanya.

“ Durrah kesiankan kakak. Malam ni dia tak ada dengan Abang. Since Abang ada dengan Durrah sekarang…” aku menuturkannya perlahan. Terbit rasa cemburu juga walaupun sedikit, namun aku terpaksa menghiraukan perasaan sebegitu, kerana inilah risiko yang harus kutanggung kerana aku harus memikirkan kepentingan orang lain juga yang sanggup menyerahkan suaminya untuk dikongsi kepadaku.

“ Kakak mana pulak dah ni? Sayang mana ada kakak kan? Kakak sepupu sayang ke? Alah… biarkan lah dia, dia pun ada suami dia jugak. Tak payah lah risaukan dia...hehe” sengih Khalil kemudian. Aku mencebik bibirku tanda merajuk. Berpaling darinya dan melepaskan pelukanku. Orang tanya betul-betul main-main pula! Lantas, aku menghadiahkan sebuah cubitan dilengannya akibat terlalu geram. Khalil Khusyairi mengaduh kesakitan. Lantas dia mendekatiku semula.

“ Tak comellah merajuk macam tu. Takmaulah… Abang melawak je dengan Durrah tadi. Abang faham, Durrah nak Abang explain kan pasal benda tu? Okay, abang akan kotakan janji Abang. Tapi jom kita solat sunat dulu ya? Berwuduhuk tu boleh hilangkan api kemarahan, berseri balik muka isteri Abang yang comel buat mulut muncung macam ni….” Khalil mencubit kedua-dua belah pipiku. Sakitlah Abang!

XXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXX

Selesai bersolat, aku mengaminkan doa yang diimamkan oleh suamiku sendiri. Terasa bahagia sekali lagi mula menjalar apabila aku menyalami tangannya dan dia mengucup dahiku dengan penuh hormat. Terasa seluruh kecintaannya buat diriku tatkala waktu itu. Setelah aku melipat telekungku dan melipat sejadah, aku lihat Khalil Khusyairi sedang berteleku dibirai katil. Mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu. Tangannya terus berjalan menggerakkan butiran tasbih. Alhamdulillah, sejuk sekali mata aku melihatnya. Selesai berwirid, dia meletakkan untaian tasbih di atas meja kecil ditepi katil dan menanggalkan kopiah yang dipakainya. Aku membuka hijabku lalu naik ke atas katil.

“Cantiknya rambut sayang… Lembut” puji Khalil Khusyari. Aku sekadar tersenyum. Ternyata dia bijak menafsir riak wajahku yang masih tidak berpuas hati selagi jawapan yang kuperlukan belum lagi kutemui.

“ Abang janji apa tadi? Ingat kan?” aku mengingatkannya kembali.

“Oh ya…okay, macam ni Durrah. Sebenarnya, abang memang tak cintakan Durrah seorang sahaja. Tapi insyaallah, Durrah lah isteri Abang yang pertama dan yang terakhir…” Khalil Khusyairi memulakan bicaranya.

“ Abang, Durrah tak faham.” Aku tidak mengerti kata-katanya itu.

“ Durrah kan selalu pesan kat Abang yang hati kita ni milik Allah kan? Abang bersyukur sangat sebab Durrah selalu ingatkan Abang pasal benda tu. Tapi ada satu benda yang Durrah terlupa nak pesan kat Abang, bila hati kita ni milik Allah, kita tak boleh beri pada seseorang tu sewenang-wenangnya. Dan hati kita tu, kita tak boleh perlakukan ia dengan sesuka hati kita.. kan?” terang Khalil.

“Maksudnya?”

“ Jadi begitulah juga hati Abang. Meski Abang cintakan Durrah macam mana sekalipun, cinta tu tak dapat tandingi cinta Abang pada Allah dan Rasul-Nya. Sebab itulah Abang pernah katakan pada Durrah, Abang dah terlanjur cintakan seseorang lebih dahulu sebelum Abang mencintai Durrah. Cinta yang Abang maksudkan itulah cinta Abang pada Allah dan Rasul-Nya. ‘Isteri pertama’ Abang. Abang belajar bagaimana nak cintakan Dia terlebih dahulu sebelum Abang belajar mencintai Durrah. Sebesar mana pun cinta Abang pada Durrah, tatap tak boleh lawan cinta abang pada ‘isteri pertama’ abang tu.Durrah dah faham kan sekarang, apa maksud Abang?” lembut penjelasan Khalil Khusyairi padaku. Mukaku tiba-tiba terasa panas. Ada lagi air mata yang mahu dijatuhkan nampak gayanya…

“ Jadi itulah yang Abang maksudkan bila Abang lamar Durrah jadi isteri kedua Abang?” aku bertanya lagi untuk menambahkan keyakinanku. Terasa tiba-tiba kepalaku seperti berat dihempap batu. Aku malu! Kenapalah aku boleh terlanjur ada perasaan untuk memiliki segala-galanya sedangkan aku tidak berhak sepenuhnya ke atas sekeping hati itu?

“Ya, itulah maksud Abang. Abang harap, Durrah pun mampu cintakan Dia lebih dari Durrah cintakan Abang, boleh kan?” soal Khalil Khusyairi.

“ Durrah dah faham sekarang. Baiklah Abang, Durrah tak kisah malah sedia untuk menjadi ‘isteri kedua’Abang. Durrah sayangkan Abang. Maafkan Durrah kerana dah salah anggap pada Abang…” aku lantas memeluk suamiku. Tanda aku memohon maaf atas keterlanjuranku kerana tersalah sangka.

“ Abang pun sayangkan Durrah. InsyaAllah, Abang akan cintakan Durrah setulusnya. Walaupun Durrah bukanlah yang pertama, tetapi Abang yakin Durrahlah orang yang terakhir yang abang akan cintai seikhlasnya…” Khalil Khusyairi kemudian membalas pelukanku. Erat.

Aku mengerti kini. Persoalan siapa ‘isteri pertama’ Khalil Khusyari itu juga telah terungkap. Aku bersyukur kerana mempunyai suami sepertinya. Malah dengan pengakuan itu, membuatkan rasa cintaku padanya semakin mekar dan bertambah kekagumanku terhadapnya. Malam itu menjadi memori yang terlalu indah buatku dan takkan mungkin aku akan melupainya sehingga ke akhir hayatku…


TAMAT.

No comments:

Post a Comment

 
Images by Freepik